Sunday, April 26, 2009

Najib Menghapuskan Dasar Milikan 30% Ekuiti Bumiputera

Pengumuman beberapa hari lalu oleh PM Najib tentang dasar baru liberalisasi ekonomi memang sudah diduga. Dasar baru yang melibatkan penghapusan syarat milikan kuota bumiputera 30% ke atas 27 sub sektor perkhidmatan yang berkuatkuasa serta merta dilihat sebagai satu cubaan untuk memenangi hati pengundi bukan melayu yang sejak lebih setahun lalu dilihat kental menyokong parti-parti dalam koalisi Pakatan Rakyat. Alasan yang diberikan oleh Najib ialah ianya sebagai syarat kepatuhan terhadap keahlian Malaysia di dalam Asean Economic Community (AEC) dan World Trade Organisation (WTO).
Sektor-sektor yang terlibat ialah sektor Kesihatan, Khidmat Awam, Pelancongan, Kewangan, Perundangan, Pengangkutan, Perdagangan, Pengkomputeran dan sektor-sektor lain yang berkaitan.
Nampaknya Najib, sepertimana pimpinan UMNO yang lain dan yang lalu masih gagal memahami kenapa rakyat, khususnya bukan melayu menentang DEB yang muncul selepas insiden rusuhan kaum 1969. Rakyat, termasuk orang melayu bukannya menentang dasar tersebut dari segi kandungan, tetapi perlaksanaan dasar tersebut sejak 1970, yang dilihat hanya menguntungkan beberapa kelompok pemodal atau politikus yang berkait rapat dengan UMNO. Maka wujudlah beberapa terminologi atau istilah sindiran seperti dasar 'UMNOPutra', dasar 'kroni kapitalis', 'white discrimination', dan sebagainya.
Majoriti orang Melayu di negara ini tidak bertuah seperti mana saudara-saudara mereka yang didalam UMNO. Bahkan, perlaksanaan dasar ini sejak dulu lagi lebih dilihat menindas orang Melayu sendiri, di samping menganaktirikan orang bukan Melayu. Untuk Melayu itu beroleh sesuatu di bawah dasar ini, termasuk dalam bidang pendidikan dan perniagaan, mereka mesti jadi orang UMNO. Yang bukan UMNO, hanya boleh pandang dan lihat.
Kita ambil contoh dalam konteks pendidikan, kalau nak dapat sokongan JKKK untuk pinjaman buku teks, pinjaman atau biasiswa pendidikan dan sebagainya, orang Melayu itu mesti isi borang UMNO dulu! Kalau nak dapat pinjaman perniagaan di bawah pelbagai insentif seperti TEKUN dan sebagainya, mesti isi borang UMNO dulu. Kalau JKKK dah kenalpasti orang Melayu itu menyokong PAS atau mana-mana parti lain dari UMNO, segala permohonan akan disenaraihitamkan buat selama-lamanya! Bahkan, ada sesetengah kes, walaupun mereka ahli UMNO, tapi dari kem yang berbeza, mereka juga turut disenaraihitamkan!
Perlaksanaan atau pengaplikasian dasar ini dah terlalu teruk dipolitikkan oleh UMNO. Memang betul, sejak dasar ini diperkenalkan, bilangan professional dari kalangan orang Melayu meningkat. Bilangan peniaga dan jutawan Melayu juga turut meningkat, tapi persoalannya, adakah peningkatan ini meliputi segenap lapisan masyarakat atau dari kelompok UMNOputra tertentu sahaja? Kenapa jurang ekonomi dan pendidikan intra-Melayu semakin melebar? Kenapa orang Melayu sendiri ramai yang meluat dengan perlaksanaan dasar ini? Sampai bila orang Melayu, khususnya dalam UMNO nak biarkan diri ditipu dan dibuai nostalgia ilusi dan propaganda syok sendiri?
Bila DS Anwar melalui parti KeADILan menawarkan Agenda Ekonomi Malaysia, dia dikatakan khianat kepada orang Melayu. Saya yakin, pengkritik-pengkritik ini tidak pernah baca dokumen AEM ini! Mungkin, kalau mereka baca, mereka akan malu sendiri, lantaran kebodohan dan kesombongan mereka.
DEB bukanlah segalanya untuk orang Melayu! DEB pernah punya peranan penting dalam menyusun semula masyarakat di peringkat awal perlaksanaannya, tapi kini ia hanya sebagai alat atau alasan pimpinan UMNO untuk mengkayakan diri mereka! Kerana itulah, yang paling kuat mengkritik AEM ialah pimpinan UMNO. Mereka takut, tembelang khianat amanah mereka yang terbongkar! DEB sudah hampir hilang relevannya kerana perbuatan khianat pimpinan UMNO. Sayang sekali, ahli-ahli kecil UMNO dibawah masih terus rabun dan terus enak biarkan diri mereka dibuai oleh nostalgia silam!!
Zaman sudah berubah, dan keperluan masyarakat juga berubah. Dasar ekonomi yang baru diperlukan untuk menjaga kepentingan rakyat terbanyak yang selama ini tertinggal dalam menikmati hasil kekayaan negara ini. Dasar ekonomi yang baru perlu bebas dari campurtangan politik yang keterlaluan dalam perlaksanaannya. Dasar liberalisasi melampau tidak akan membantu, kerana ianya hanya akan menguntungkan kelompok pemodal atau yang sudah punya modal, hasil pengkhianatan dasar ekonomi yang terdahulu.
Kalau Najib benar-benar ini merubah, dia harus mampu mendengar suara hati rakyat, bukannya kelompok elit UMNO yang mengelilingi beliau! Najib juga harus mampu duduk semeja dengan semua pihak, lebih-lebih parti-parti gabungan Pakatan Rakyat sekiranya dia benar-benar ikhlas nak realisasikan konsep 'One Malaysia' yang diwar-warkan baru-baru ini. Perbezaan politik bukannya halangan untuk bekerjasama demi kepentingan rakyat terbanyak! Kesilapan lampau harus diakui, dan ianya wajib dibetulkan sebelum ianya melarat hingga merosakkan negara dan rakyat! Kepentingan rakyat terbanyak harus diutamakan berbanding dengan kepentingan peribadi.
Saya sendiri bukannya pandai sangat, tapi boleh la sikit-sikit. Tapi saya yakin, ramai lagi yang punya kepakaran ekonomi yang boleh membantu, cuma mereka tidak berada dalam kerajaan. Najib perlu tunjukkan sedikit 'humility' sekiranya beliau benar-benar ikhlas ingin merubah!
Liberalisasi bukanlah segalanya!
Kg Dato Keramat, KL
26 April, 2009

Friday, April 24, 2009

Pilihan raya, demokrasi Denmark bagaikan pesta

Di sini ingin saya paparkan satu tulisan dari seorang rakyat Malaysia yang bekerja di Denmark yang saya terima lebih setahun yang lalu. Mungkin ada pengajaran yang boleh kita ambil sebagai panduan amalan proses demokrasi di Malaysia.

Saiful

Pilihan raya, demokrasi Denmark bagaikan pesta
Nov 16, 07


Saya adalah salah seorang rakyat Malaysia yang bekerja di Denmark. Tujuan saya bukan berniat menyinggung mana-mana pihak tetapi mahu berkongsi dengan rakan-rakan di tanahair bagaimana sebuah negara bukan Islam menjalankan proses pilihan raya secara demokratik.
Pada 13 Nov 2007 yang lepas ialah Pilihan Raya Umum Denmark. Setelah Perdana Menteri membubarkan Parlimen pada 24 Oktober 2007, bermakna itulah tarikh terakhir untuk rakyat Denmark menukar "kommune" atau pusat komuniti. Buat pengetahuan semua, adalah kewajipan setiap rakyat berdaftar dengan pusat komuniti, mereka tidak boleh sewenang-wenangnya menukar pusat komuniti melainkan berpindah rumah. Setiap perpindahan hendaklah disertakan surat perjanjian sewa/beli rumah.
Setiap rakyat berumur 18 tahun secara automatik layak mengundi di bawah kawasan pusat komuniti mereka dan semua pengundi akan menerima kad mengundi yang dihantar oleh pusat komuniti mereka. Kad mengundi adalah wajib dibawa sebagai bukti mereka adalah pengundi yang sah di kawasannya.
Jentera parti diberi kebebasan untuk berkempen melalui TV, radio, akhbar, iklan, internet dan lain-lain media massa. Semua parti diberi kebebasan untuk menganjurkan debat secara terbuka atau siaran langung. Dua minggu sebelum pilihan raya, bakal-bakal perdana menteri diberi peluang berdebat secara langsung di TV membincangkan isu dan topik kempen mereka. Dua hari sebelum pilihan raya, semua ketua parti mesti menghadiri forum membincangkan isu kempen secara live di TV.
Masing-masing diberi peluang melontarkan soalan kepada parti lawan, tapi mereka bagaikan profesional, gelak ketawa dan emosi masing-masing terkawal sepanjang forum itu.
Pilihan raya bermula jam 6 pagi hingga 8 malam, suasana sunyi macam tiada apa yang berlaku. Dewan Gymnasium sekolah, berdinding kaca lut sinar dijadikan pusat membuang undi.Di pusat membuang undi pula, ia bagaikan satu pesta, setiap orang datang membuang undi tanpa rasa takut. Anak kecil, kanak-kanak boleh dibawa masuk ke tempat membuang undi, bahkan ada yang meminta anak kecilnya memasukkan kertas undi. Tiada seorang polis pun menjaga dewan undi mereka. Tiada undi pos, polis tentera dan semua yang terlibat dengan pilihan raya mengundi macam biasa.
Alangkan sedihnya bila difikirkan, sebuah kerajan bukan Islam boleh telus dalam menjalankan pilihan raya demokrasi.
Anak Malaysia, Denmark

Pilihanraya Kecil Membazir Wang Rakyat?

Lantaran takut dengan kekalahan demi kekalahan kepada Pakatan Rakyat, Najib memulakan omong picisan sebagai 'face saving measures' dengan mengatakan bahawa pilihanraya kecil yang berlaku secara berterusan ini adalah satu pembaziran wang rakyat dan helah politik parti KeADILan untuk mengukur tahap populariti di mata rakyat. Maka segala bala tentera media, penulisan dan elektronik serta media alam maya dikerah semahunya untuk cuba membentuk minda rakyat bagi menerima omongan picisan ini.

Sebagai perdana menteri baru di negara yang sudah lebih separuh abad merdeka, dengan kononnya amalan demokrasi tulen, Najib nyata nyata jauh ketinggalan zaman! Saya membaca beberapa tulisan blog yang cenderung kepada regim BN seperti Norizan Sharif, Fuad Hassan, dan ramai lagi. Ternyata, kerangka pemikiran mereka masih terbelenggu dengan budaya politik lapuk UMNO! Mereka jelas lupa sejarah bikinan sendiri, dan mereka ingat rakyat mudah lupa dan nyanyuk seperti mereka!!

Bagi pencinta UMNO dan BN, amalan demokrasi tulen yang mereka faham ialah perbuatan membuang undi 4 atau 5 tahun sekali seperti yang diamalkan selama ini. Sama ada rakyat bebas mengamal demokrasi, itu persoalan yang lain!! Sama ada wujud amalan demokrasi lain seperti kebebasan media, bersuara, hak berhimpun dan menyuarakan bantahan terhadap penyelewengan kerajaan sedia ada, dan banyak lagi, itu persoalan kedua. Siapa yang menyuarakan perkara-perkara ini dilabel sebagai agen Barat atau yahudi!! Kerakusan mereka menggunakan media kerajaan (harus dibezakan antara kerajaan dan parti yang menguasai kerajaan!!), semua institusi kerajaan seperti polis, SPR, Jabatan Penerangan, Kesihatan, sekolah awam dan banyak lagi, tidak boleh ditegur, kerana itu kerja pengkhianat negara namanya!!

Mereka lupa bahawa pilihanraya bukan hanya medan memilih wakil rakyat yang akan mewakili pengundi sesuatu kawasan itu, tetapi juga medan untuk rakyat bersuara dengan lantang dan jelas. UMNO lupa bahawa mereka pernah menggunakan kaedah pilihanraya kecil untuk penstrukturan semula politik. Masihkah ingat 2 pilihanraya kecil serentak di Selangor yang dibuat untuk membolehkan Abu Hassan Omar menjadi Menteri Besar pada tahun 1996? (Abu Hassan Omar kemudiannya meletakkan jawatan atas satu skandal yang cuba ditutup oleh BN, yang kemudiannya melantik Khir Toyo sebagai MB baru). Bukankah ini satu pembaziran wang rakyat seperti dalam konteks yang cuba diutarakan oleh Najib?

Di Malaysia, pilihanraya kecil sebenarnya satu rahmat kepada pengundi di kawasan yang terlibat. Tatkala pilihanraya kecillah, BN cuba merasuah rakyat dengan menurun dan meluluskan pelbagai projek mee segera. Lihat saja pelbagai projek menurap jalan dan sebagainya seperti yang kita dapat lihat di Bukit Gantang dan Bukit Selambau! Kalau tidak, tunggulah sampai pilihanraya umum yang lain pulak, baru dapat 'janji manis' BN atas nama pembangunan! Masa nilah kain batik, beras, gula dan macam-macam lagi mudah diperolehi! Masa nilah jugak masanya untuk sekolah-sekolah dhaif, surau dan masjid bocor, rumah-rumah kebajikan, parit-parit tersumbat dan banyak lagi berpeluang untuk dibaiki segera. Semua ni pakai wang siapa kalau tidak wang rakyat!! kalau tidak ada pilihanraya kecil, semua peruntukan ini akan senyap-senyap masuk dalam poket pemimpin UMNO, melalui pelbagai kaedah yang dihalalkan oleh undang-undang negara ini.

Ketika pilihanraya kecil inilah jugak ahli-ahli UMNO di bawah berpeluang mendapat habuan dan durian runtuh dari pimpinan mereka! Bila Najib merungut, yang turut sama merungut ialah pimpinan UMNO yang lain, kerana mereka tahu, mereka kena keluarkan wang lagi untuk bagi habuan ahli-ahli yang akan buat kerja di bawah nanti!!! Mana ada ahli-ahli UMNO biasa merungut!! Kalau tak turun habuan, maka bilik gerakan takkan dibuka! Wang siapa semuanya ini kalau tidak wang rakyat!!

KeADILan dan PAS bila pilihanraya kecil hanya mampu guna wang parti dan hasil sumbangan ahli-ahli. Walaupun kuasai beberapa negeri, tapi masih tak mahu gunakan wang kerajaan negeri, kerana mereka tahu bezakan antara wang parti dan wang rakyat. Jadi siapa sebenarnya yang bazirkan wang rakyat dalam konteks ini?

Saya masih ramai teman-teman yang pekat dan hangit dengan UMNO, bukannya kerana setia dengan 'agenda perjuangan' UMNO, tapi UMNO la lubuk mereka cari makan! Ada yang nampak 'karat' dengan UMNO, tetapi setia mereka ini sebenarnya bersyarat. Syaratnya ialah fulus! Ada fulus, kerja jalan! Tak dak fulus, boleh jalan! Ramai anak-anak muda yang masuk UMNO kerana janji kehidupan yang lebih baik, peluang pekerjaan yang lebih baik dan macam-macam lagi ang lebih baik, tapi bila dah masuk baru faham hakikat dan realiti sebenar! Jadi mereka terus kekal sebagai pencacai serta pekerja politik professional. Yang ada lebih duit sikit, nak cari peluang berniaga lebih, hatta berniaga atas angin. Jadi, yang pastinya, kelompok-kelompok ini sudah pasti gembira bila ada pilihanraya kecil!

Saya melihat pilihanraya kecil sebagai barometer prestasi yang hanya boleh digerakkan oleh rakyat. Mana-mana parti tidak perlu takut berdepan degan rakyat kalau mereka tidak bersalah atau khianat kepada rakyat. Dalam era politik baru dan moden di Malaysia, rakyatlah yang punya kuasa keramat penentu segalanya! Rakyat punya daulat menaikkan dan menjatuhkan mana-mana pimpinan! Cuma saya harap, rakyat lebih punya ruang demokrasi yang tulen untuk memilih, atas fakta dan maklumat yang benar.

Harapannya agar Penanti akan jadi medan baru untuk rakyat terus suarakan hak dan kehendak mereka. Saya juga impikan, suatu hari nanti, negara ini mampu amalkan demokrasi tulen, di dalam kerangka dan budaya kemajmukan yang wujud dan pasti secara realiti.

Jadi Najib, kenapa takut pilihanraya kecil??

Wallahualam

Kampung Raga, Yan
24 April, 2009

Wednesday, April 22, 2009

Keputusan Tentang Penanti Ditangguh

Rabu April 22, 2009
Kedudukan kerusi DUN Penanti diumum Isnin ini

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengumumkan mengenai kedudukan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Penanti, Pulau Pinang, Isnin ini.

Pegawai Perhubungan Awam SPR Sabri Said berkata Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof akan membuat pengumuman itu pada sidang media yang akan diadakan pada Isnin ini, jam 10 pagi di Ibu Pejabat SPR di sini.

"SPR yang bermesyuarat hari ini telah membincangkan perkaraperkara berkaitan kekosongan kerusi N.12 Penanti, Pulau Pinang.

"Berkaitan dengan perkara tersebut, sidang media oleh pengerusinya yang sepatutnya diadakan pada Jumaat ini, telah ditunda kepada Isnin depan (27 April 2009) di Ibu Pejabat SPR di sini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohammad Fairus Khairuddin, 33, dari Parti Keadilan Rakyat, telah meletak jawatan sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti yang turut meletak jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri I sebelum itu berikutan dakwaan terlibat dengan rasuah.

Sebelum ini, Mohammad Fairus, yang sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, dilaporkan sebagai berkata, langkah itu adalah bagi membersihkan namanya daripada segala tohmahan selain bagi membolehkan beliau melanjutkan pelajaran.
BERNAMA

Maklumat Pilihanraya Penanti



Sebagai persiapan awal untuk teman-teman yang ingin membantu di Penanti, saya ingin berikan sedikit maklumat awal tentang pola pengundian lalu di DUN Penanti. Mungkin maklumat yang sedikit seperti di atas ini boleh membantu.

Bagi yang kurang pasti lokasi DUN Penanti di dalam parlimen Permatang Pauh, sila rujuk peta ringkas dibawah.


Pada masa yang sama, saya juga baru beroleh perincian keputusan pilihanraya DUN Penanti yang diperolehi semasa PRU 12 dan pilihanraya kecil Permatang Pauh yang lalu. Keputusannya adalah seperti berikut:

Kalau dilihat keputusan yng diperolehi oleh sdr Fairus dalam PRU ke 12 lalu, PKR menang di dalam semua daerah mengundi (DM) kecuali DM Telok Wang dengan perbezaan 34 undi, namun dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh, keputusan tersebut diperbaiki bila PKR menang dengan perbezaan 28 undi, menjadikan PKR memenangi di kesemua daerah di dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh ketika itu. Majoriti pengundi di DM Teluk Wang adalah masyarakat Siam, dan harus juga diingat bahawa ketika prk Permatang Pauh, petugas luar yang membantu ketika itu adalah kontigen dari Kedah yang diketuai oleh sdr YB Senator Hj Zamri Yusoff.

Bagi yang ingin merujuk kepada keputusan semasa pilihanraya umum ke 10 dulu, iaitu semasa Pak Rahman, bekas Pengerusi Tetap KeADILan memenangi kerusi ini untuk PKR, keputusannya adalah seperti berikut:

Kita tunggu pulak siapakah calon PKR di Penanti, tapi calon favourite setakat ini rasanya ialah Dr Mansor, yang merupakan orang lama parti, yang juga merupakan timbalan pengerusi PKR Pulau Pinang. Saya yakin harapan PKR untuk kekalkan kerusi ini dengan majoriti yang meningkat adalah cerah sekiranya Dr Mansor menjadi calonnya.

Walau siapapun calonnya, Saya dan teman-teman AMK Kedah akan tetap turun membantu bagi memastikan kemenangan parti dan pakatan Rakyat. Untuk maklumat lanjut nanti, sila layari blog khas untuk prk Penanti iaitu http://n12adunpenanti.blogspot.com/
Selamat Bekerja!!

Gelisah Mahathir Berterusan

Teman-teman sering minta saya beri komen tentang perkembangan baru politik tanahair, terutamanya selepas Najib dinobatkan sebagai Perdana Menteri yang ke 6 menggantikan Pak Lah Badawi. Saya melihat komposisi kabinet baru yang dikatakan 'sangat bersih' oleh najib yang dikatakan akan membawa perubahan baru kepada negara khusus dalam merealisasikan gagasan baru Najib "One Malaysia" yang diungkapkan beliau sejurus selepas mengangkat sumpah menjadi Perdana Menteri.

Apa yang boleh saya katakan adalah, saya bersyukur kerana saya turut terlibat dalam memberikan 'hadiah' istimewa menyambut Najib sebagai dan 'menghambat' Pak lah Badawi dari jawatan perdana menteri, dengan menghadiahkan kemenangan besar Pakatan Rakyat di Bukit Selambau kepada rakyat.

Dengan ternobatnya Najib sebagai PM baru ini, maka lengkaplah pusingan ganas kepimpinan UMNO, kembali kepada penguasaan Dr Mahathir. Kabinet 'baru' Najib ini adalah umpama bayangan kabinet harapan Dr Mahathir, dipenuhi dengan kaki bodek dan pimpinan UMNO yang mewarisi legasi kepimpinan Mahathir. Masih ada beberapa 'suratkhabar lama' yang dikitar semula, dengan pakej 'make up' yang baru. Memang, muka-muka lama seperti Rafidah, Tengku Adnan, Aziz Shamsuddin, Sanusi Junid, Arwah Megat Junid, Khalil Yaakob dan ramai lagi sudah tidak ada, tapi barisan pimpinan UMNO yang ada sekarang adalah mereka yang lahir dari acuan dan budaya bobrok yang sama. Khianat dan korupsi adalah amalan biasa yang sudah terbudaya dalam UMNO, warisan atau legasi pemerintahan Mahathir.

Kalau dulu, semasa regim Pak Lah Badawi, Mahathir meracau dan gelisah kerana banyak legasinya cuba dipadam oleh Pak Lah dengan bantuan 'budak-budak tingkat 4'. kini, dia mula kembali meracau dan gelisah kerana dia baru sedar legasinya sukar nak dipulihkan semula kerana rakyat sudah mula membuka mata. Gelombang kedua Reformasi pada 8 Mac, 2008 menyebabkan rakyat sudah mula lebih punya daulat tersendiri.

Kita lihat sendiri, walaupun Najib cuba mengungkapkan konsep 'One Malaysia' kepada rakyat sebagai gula-gula menutup kepincangan pengurusan keharmonian kaum oleh UMNO selama ini, respon pimpinan UMNO yang lain, termasuk Dr Mahathir masih ditahap yang lama. Mereka masih yakin, dengan membangkitkan kemarahan orang Melayu melalui isu-isu kaum dan agama yang direka-reka, mereka masih boleh mengekalkan sokongan rakyat kepada UMNO, khususnya dari orang Melayu, dan pada masa yang sama memberikan mesej amaran yang jelas kepada kaum lain, supaya tunduk dan patuh kepada BN dengan hanya menyokong BN.

UMNO, selagi didalangi oleh kepimpinan 'racist' seperti yang ada hari ini, warisan dari legasi kepimpinan Mahathir, tidak akan ke mana-mana. Adalah menjadi tugas kita generasi baru anak muda, khususnya yang punya akses kepada maklumat untuk terus mendidik masyarakat, khususnya generasi muda agar menolak terus politik perkauman. Tidak ada jalan lain untuk bangsa kita maju ke hadapan melainkan dengan terus mendidik rakyat menerima kebenaran. Jangan ada yang takut atau rendah diri untuk berhadapan dengan cabaran, kerana akhirnya, apabila kita kembali berhadapan dengan Rabbul Jalil, kita akan ditanya sejauh mana kita sudah mencuba untuk merubah masyarakat, dan bukannya sejauh manakah kita telah berjaya untuk merubah masyarakat.

Percayalah, setiap apa yang kita lakukan hari ini, walau sekecil apapun, tetap akan merubah masyarakat suatu hari nanti. Saya sendiri tidak pernah menyangka, pengorbanan yang kita lakukan lebih 11 tahun lalu secara konsisten dan istiqamah, membuahkan hasil seperti yang dapat dilihat hari ini.

REFORMASI!!

Merbok

23 April, 2009



AMK Kedah akan Bantu PRK Penanti

Semalam, saya pulang dari Sungai Petani bertemu dengan teman-teman AMK Kedah membincangkan persiapan khenduri Rakyat yang akan dibuat di perkarangan bangunan Yayasan Aman Kedah di Sungai lalang. Bagi yang sudah lupa, ianya bertempat di Bilik Gerakan Utama AMK Kedah, di laluan jalan lama ke Alor Setar.

Pada masa yang sama, kami juga membincangkan beberapa program yang akan dijalankan oleh AMK Kedah, termasuk program latihan kepimpinan dan skil pengurusan pentadbiran yang akan dibuat secara berterusan. Antara yang hangat dibincangkan ialah penyertaan AMK Kedah alam membantu pilihanraya kecil Penanti yang bakal diadakan selepas perletakan jawatan sdr Fairus sebagai ADUN Penanti baru-baru ini.

Segar dan bersemangat tinggi selepas mengetuai jentera prk Bukit Selambau baru-baru ini, teman-teman pimpinan AMK mendesak agar AMK sekali lagi diberikan peranan penting mewakili KeADILan Kedah dalam prk Penanti. Saya bersetuju dan teruja dengan komitmen dan semangat teman-teman yang tinggi. Urusan awal persiapan terus dibuat dengan menghubungi Pak Tam Permatang Pauh yang mengetuai jentera bahagian Permatang Pauh membantu Bukit Selambau tempohari. InsyaAllah, sekiranya prk Pnanti dijalankan nanti (kita tunggu pengumuman SPR pada 24hb nanti!!), AMK akan turun membantu di JDM Guar Perahu.

Saya sengaja memilih JDM ini kerana cabaran yang akan dihadapi pasti tinggi. JDM ini adalah kawasan majoriti pengundi Melayu (lebih 90%), kubu kuat UMNO, dan dalam prk Permatang Pauh lalu, KeADILan hanya menang agak tipis. Saya yakin, JDM akan sekali lagi menjadi pentas latihan yang baik untuk teman-teman AMK sebagai pendedahan dan persiapan menghadapi pilihanraya umum nanti. Kalau dulu, kami bertugas di JDM Seberang Jaya 1 yang penuh dengan pelbagai cabaran berdepan dengan jentera UMNO N9 yang diketuai oleh Khairy, dalam keadaan KeADILan tidak pernah menang di situ, kami berjaya mendapat kemenangan manis dengan majoriti yang jauh meningkat, kami yakin akan mengulangi kejayaan yang serupa di Guar Perahu dan Penanti secara umumnya.

Saya yakin, dengan pendekatan kempen secara terbuka dan berterus terang, dengan menyebarkan maklumat yang sebenar kepada pengundi apa yang sebenarnya sedang berlaku, pengundi yang dahulunya mengundi calon BN akan berubah hati. Kali ini, teman-teman AMK tidak akan hanya mengambil peranan konvensional anak muda, yang sebelum ini hanya terlibat dengan persiapan fizikal, tetapi akan terus bertemu dengan pengundi, khususnya pengundi muda bagi menyampaikan maklumat yang sebenar.

Negara ini hanya akan berjaya kita rubah sekiranya rakyat punya akses maklumat yang benar dan jelas faktanya. Cabaran besar menanti semua teman-teman yang akan turun membantu, terutamanya berdepan dengan jentera media dan polis kerajaan yang dikudakan oleh UMNO dan BN. Seperti di Bukit Selambau dan lain-lain prk yang kita sertai, saya yakin dan pasti teman-teman AMK tidak akan mudah tunduk dan berubah hati. InsyaAllah, kemenangan yang lebih besar sedang menggamit untuk memastikan perubahan yang lebih besar dan berkekalan kepada rakyat Malaysia seluruhnya.

Bukit Selambau
22 April, 2009