Friday, June 26, 2009

MEMORANDUM PEMUDA PAKATAN RAKYAT 26-6-2009

MEMORANDUM PEMUDA PAKATAN RAKYAT

26 Jun 2009

Y.Bhg. Dato' Mohd. Yusof Bin Hj. Zainal Abiden
Peguamcara Negara II
Jabatan Peguam Negara
MALAYSIA

Y.Bhg. Dato'

MEMORANDUM SUPAYA PERTUDUHAN JENAYAH LIWAT KEDUA TERHADAP YB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM DIGUGURKAN.

Dengan segala hormatnya perkara di atas adalah dirujuk dan kes yang telah ditetapkan untuk dibicarakan pada 8hb Julai 2009 adalah berkaitan.

1. Untuk makluman Y.Bhg. Dato', pihak Pemuda Pakatan Rakyat memandang serius terhadap pertuduhan liwat yang dikenakan kepada YB Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim untuk kali yang kedua berikutan dengan pendedahan mengenai laporan perubatan oleh seorang doktor dari PUSRAWI dan 3 orang Pakar Hospital Besar Kuala Lumpur yang mengesahkan bahawa hasil pemeriksaan fizikal yang dilakukan terhadap si pengadu iaitu Mohd Saiful Bukhari Azlan adalah didapati TIADA BUKTI YANG MENUNJUKKAN BERLAKU TUSUKAN (PENETRATION) SECARA KLINIKAL DAN KONKLUSIF PADA DUBUR SI PENGADU yang boleh mensabitkan atau membuktikan bahawa kejadian liwat seperti yang didakwa telah berlaku.

2. Pihak Pemuda Pakatan Rakyat percaya bahawa segala pertuduhan yang dikenakan kepada YB Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim ini merupakan satu perancangan konspirasi politik oleh pihak tertentu yang menyedari bahawa kekuasaan mereka selama ini telah tergugat sebaik sahaja keputusan Pilihanraya Umum ke 12 yang lalu diumumkan. Perancangan konspirasi liwat ini adalah merupakan satu alternatif bagi pihak tersebut untuk memastikan kemaraan YB Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim di arus perdana politik dapat dihancurkan dan dengan pertuduhan ini ia akan dapat memburukkan kredibiliti YB Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim di mata rakyat Malaysia dan dunia.

3. Pihak Pemuda Pakatan Rakyat percaya bahawa Y.Bhg. Dato' telah di arahkan oleh Peguam Negara Malaysia untuk mengetuai barisan kumpulan Pendakwaan yang akan mengendalikan kes ini kelak dengan tujuan untuk menyabitkan YB Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim dalam apa keadaan sekali pun (at all cost). Pihak Pemuda Pakatan Rakyat juga percaya bahawa Y.Bhg. Dato' telah diberikan arahan dan harapan yang tinggi oleh pihak tertentu untuk memastikan agar YB Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim akan disabitkan di dalam kes liwat ini selepas KEGAGALAN pihak Pendakwaan yang dikepalai oleh Peguam Negara Malaysia pada tahun 1998.

4. Pihak Pemuda Pakatan Rakyat ingin memohon supaya Y.Bhg. Dato' untuk MENGGUGURKAN pertuduhan ini berdasarkan kepada laporan perubatan yang dinyatakan di atas dan memohon supaya Y.Bhg. Dato' tidak sesekali tunduk kepada mana-mana arahan atau tekanan supaya kes ini diteruskan sebagaimana yang telah dilakukan oleh Peguam Negara Malaysia selama ini. Pihak Pemuda Pakatan Rakyat percaya bahawa Y.Bhg. Dato’ sebagai seorang Timbalan Pendakwaraya Kanan yang sangat berpengalaman dan dihormati oleh pendukung keadilan untuk memastikan Jabatan Peguam Negara tidak terus diperkudakan oleh pihak tertentu bagi maksud memenuhi tuntutan nafsu mereka yang ingin terus berkuasa walaupun semakin ramai rakyat negara ini kian kuat menolak mereka.

5. Adalah besar harapan rakyat Malaysia supaya Y.Bhg. Dato' untuk mengembalikan semula imej cemerlang Jabatan Peguam Negara sebelum Tan Sri Abdul Gani Patail dilantik menjadi Peguam Negara Malaysia hasil habuan dari kerajaan selepas usaha beliau dengan dibantu oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan bagi memastikan YB Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim dipenjarakan dalam kes sebelum ini.

6. Pihak Pemuda Pakatan Rakyat yakin bahawa sekiranya Y.Bhg. Dato' memilih untuk tidak meneruskan pertuduhan ini dan seterusnya tidak dipergunakan oleh Peguam Negara dan Ketua Polis Negara Malaysia, maka tindakan Y.Bhg. Dato tersebut akan disokong oleh semua rakyat Malaysia yang telah marah dan berasa jijik dengan sikap yang diamalkan oleh Tan Sri Abdul Gani Patail dan Tan Sri Musa Hassan yang membiarkan institusi di bawah jagaan mereka dilacurkan demi kepentingan pangkat yang di sandang oleh mereka.

7. Pihak Pemuda Pakatan Rakyat berharap agar gesaan dan desakan kami dipandang serius, demi memartabatkan akauntabiliti dan integriti negara Malaysia yang tercinta ke arah menzahirkan prinsip-prinsip keadilan dan kesaksamaan buat semua rakyat Malaysia.

”PULIHKAN KREDIBILITI INSTITUSI KEHAKIMAN: GUGURKAN DAKWAAN TERHADAP DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM”

Yang Benar,

SHAMSUL ISKANDAR MOHD AKIN
Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia
NASRUDIN HASSAN TANTAWI
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat

YB LOKE SIEW FOOK
Ketua Pemuda DAP

2 comments:

  1. Ketua Pemuda Gerakan ketinggalan zaman, kata MB Kedah
    ALOR SETAR, Jun 25 — Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak menyifatkan Ketua Pemuda Gerakan Kedah, Tan Keng Liang ketinggalan zaman apabila terus mengajak orang menyertai BN.

    "Semua sekarang nak tinggalkan Umno dan BN untuk menyertai PAS dan Pakatan Rakyat. Tiba-tiba dia pula ajak masuk BN, pelik sungguh," kata Azizan kepada media dalam satu majlis di Gurun hari ini.

    Azizan mengulas gesaan Tan yang meminta DAP dan PKR menyertai BN bagi membentuk kerajaan baru di Kedah dengan meninggalkan PAS.

    Ini kerana, kata Tan, kerajaan Kedah dibawah pimpinan PAS sekarang meminggirkan orang bukan Melayu di Kedah.

    Menurut Azizan, Tan ketinggalan dalam banyak hal termasuk isu kouta 50 peratus untuk orang Melayu apabila tanah rezab Melayu diambil untuk projek perumahan di bandar Alor Setar.

    Tan juga, kata Azizan, ketinggalan dalam isu pusat penyembelihan babi di Mergong.

    Sebelum ini, Azizan berkata, yang tidak adil adalah kerajaan BN sebelum ini yang telah meluluskan tanah rezab Melayu untuk projek perumahan tetapi menetapkan hanya 20 peratus sahaja kouta untuk orang Melayu.

    "Ini tanah rezab Melayu, bukan tanah pegangan bebas. Untuk tanah pegangan bebas, mana ada syarat itu," katanya.

    Dalam isu pusat penyembelihan babi di Mergong pula, pusat yang terletak di Pasar Mergong ini, walaupun telah bergerak selama lebih 30 tahun, namun ia tidak pernah mempunyai lesen yang sah dari pihak berkuasa tempatan.

    Aktivitinya pula mendapat bantahan orang Melayu yang turut ke pasar ini kerana bahan-bahan buangannya dibuang dalam tong sampah yang sama dengan penggunaan lain dan sebahagiannya dialirkan ke sungai berdekatan.

    Ekoran bantahan itu, Majlis Bandaraya Alor Setar telah mengarahkan pusat penyembelihan ini dipindahkan ke tempat lain.

    Ekoran itu, persatuan peniaga babi ini telah membuat rayuan kepada Menteri Besar Kedah untuk memberikan tempoh kepada mereka sebulan untuk mendapatkan tempat baru.

    "Menteri Besar telah menulis surat kepada Datuk Bandar Alor Setar agar rayuan mereka ini diterima. Jika selepas sebulan mereka tidak dapat kawasan baru, itu masalah mereka kerana mereka yang meminta tempoh sebulan," kata Setiausaha Akhbar MB Kedah, Helmi Khalid yang dihubungi hari ini.

    Menurut Helmi, satu kawasan baru telah dikenalpasti untuk dijadikan tempat penyembelihan babi ini iaitu di satu kawasan dalam Kampung Cina Pendang.

    "Pejabat MB telah bersetuju dengan tapak baru ini jika mendapat kelulusan khasnya dari Jabatan Veterinar. Surat juga telah dihantar kepada Yang Dipertua Majlis Daerah Pendang agar permohonan ini diluluskan jika mendapat sokongan dari jabatan-jabatan berkaitan," beritahu Helmi.

    Sementara itu, hubungan antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat di Kedah sangat baik, kata anggota Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar.

    "Oleh itu, saya yakin pancingan Tan itu tidak akan dimakan oleh sahabat-sahabat saya dalam PKR atau DAP. Orang sekarang nak tinggal BN dan nak masuk Pakatan," kata beliau.

    Tentang isu-isu yang dibangkitkan, Firdaus yakin ia akan adapat diselesaikan dengan baik Oleh MB Kedah.

    "Sabarlah, isu babi ini sensitif dan tidak siapa mahu babi diternak atau disembelih di sebelah rumah mereka sekarang dengan wabak selsema babi ini. Jadi kena bersabarlah supaya kawasan yang dijadikan kawasan ternak dan sembelih itu nanti benar-benar sesuai," katanya.
    Dipetik dari Malaysia Insider

    ReplyDelete