Semalam saya dijemput untuk bersama-sama menjayakan program sehari anjuran Pusat Giat Ilmu Merbok (PGI Merbok), sebuah NGO tempatan yang hanya menumpukan soal meningkatkan tahap pendidikan anak-anak desa, khususnya di kawasan dewan undangan negeri Tanjung Dawai. Program ini turut melibatkan tetamu Kelab Lions Sungai Petani, Kelab Golf Sungai Petani dan badan kebajikan kakitangan hospital Metro Sg Petani.
Tetamu Program Sehari Pusat Giat Ilmu bersama sebahagian anak-anak desa yang mengikuti kelas tuisyen di Pusat Giat Ilmu
Dalam program tersebut, para tetamu dibawa melawat beberapa pusat tuisyen desa yang dikendalikan oleh PGI Merbok, serta dibawa melawat kawasan hutan bakau serta projek aqua-tani desa secara kecil-kecilan yang diusahakan oleh penduduk kampung dengan pemantauan dari PGI Merbok.
Program Lawatan ke kawasan Pemuliharaan Paya Bakau yang dipantau oleh Pusat Giat Ilmu dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang.
PGI yang ditubuhkan pada tahun 1996 serta diasaskan oleh Pak Su Ramli, seorang anak tempatan yang gigih, bekas pesara USM merupakan satu-satunya NGO yang saya tahu begitu komited dalam soal pendidikan anak-anak desa. Terlalu banyak pengorbanan yang dilakukan oleh Pak Su Ramli demi pendidikan anak-anak desa yang tidak berkemampuan untuk ke kelas-kelas tambahan. PGI Merbok menumpukan kepada kelas-kelas tambahan peringkat rendah dan menengah rendah, khususnya dalam subjek bahasa Inggeris, matematik dan sains. Alhamdulillah, sejak 1996, PGI Merbok berjaya melahirkan ribuan 'graduan' PGI yang ada daripadanya menjadi golongan professional yang kembali menyumbang kepada PGI Merbok.
PAK SU RAMLI, tokoh reformis Pendidikan anak desa
Saya mula berkecimpung membantu PGI Merbok sejak tahun 2004 melalui NGO peribadi saya, Pusat Pembangunan Komuniti atau PENITI. Walaubagaimanapun, sejak tahun 2006, saya dan beberapa teman-teman menggerakkan Yayasan Aman yang diamanahkan pd saya untuk sama-sama membantu PGI dalam soal pendidikan anak-anak desa, khususnya di Tanjung Dawai. Keluarga anak-anak desa ini datang dari pelbagai latarbelakang politik, tapi yang pastinya, ke semua mereka tidak berkemampuan untuk mendapatkan pendidikan tambahan atau kelas tuisyen. Fokus saya ialah melahirkan kelompok teras anak-anak desa yang mampu dihantar ke sekolah-sekolah berasrama penuh seperti saya dulu, dan mereka ini apabila berjaya, kembali membantu meneruskan perjuangan PGI Merbok yang diasaskan oleh Pak Su Ramli.
Hari ini, PGI Merbok sudah punya 3 pusat tuisyen desa yang dijalankan sepenuhnya oleh sukarelawan, yang sebahagiannya merupakan bekas-bekas pelajar awal PGI Merbok dulu, bertempat di Kampung Belau dan Kampung Sungai Batu Besi, selain pusat awal di Kampung Bujang. InsyaAllah, mulai bulan depan, saya akan membuka 2 lagi pusat tuisyen desa yang akan dinamakan sebagai Pusat Giat Ilmu-Yayasan Aman di kawasan Pekan Sungai lalang (pejabat Yayasan Aman) dan Kampung 50 Relong di Bukit Selambau. Saya menerima komitmen yang menggalakkan dari guru-guru dan bekas-bekas guru yang turut ingin mambantu menjayakan misi meningkatkan pendidikan anak-anak desa. InsyaAllah, dengan komitmen semua, misi ini akan mencapai matlamat jangka panjang, iaitu melahirkan generasi baru desa yang lebih berilmu dan mampu mengeluarkan diri mereka serta keluarga mereka dari kepompong kemiskinan mereka selama ini.
Pusat Giat Ilmu Kampung Belau
Bekas Bangsal yang dijadikan kelas Tuisyen Desa
Peralatan Pusat Tuisyen yang diambil dari kerusi dan meja sekolah-sekolah yang sudah rosak dan dibaikpulih sendiri oleh sukarelawan PGI Merbok
Bangsal Kedua Pusat Giat Ilmu Merbok di Kampung Belau.
Kepada anda yang ingin membantu, kami di Yayasan Aman membuka satu akaun khas untuk sumbangan secara tetap bagi membantu kami terus menjalankan aktiviti yang berteraskan pendidikan dan kebajikan. Akaun kami ialah di Maybank (Islamic), akaun no. 5520-5970-31313 di atas nama Yayasan Aman. Semua sumbangan akan mendapat pengecualian cukai. Bagi mendapatkan resit pengecualian cukai, sila fakskan resit sumbangan anda ke no 04-4589651 atau telefon sdr Asri Omar di 019-4428874.
Kami punya pelbagai latarbelakang sukarelawan, yang berbeza kaum, peringkat umur dan fahaman politik, tapi punya satu matlamat bersama dalam meningkatkan tahap pendidikan anak-anak desa.
No comments:
Post a Comment