Sunday, April 26, 2009

Najib Menghapuskan Dasar Milikan 30% Ekuiti Bumiputera

Pengumuman beberapa hari lalu oleh PM Najib tentang dasar baru liberalisasi ekonomi memang sudah diduga. Dasar baru yang melibatkan penghapusan syarat milikan kuota bumiputera 30% ke atas 27 sub sektor perkhidmatan yang berkuatkuasa serta merta dilihat sebagai satu cubaan untuk memenangi hati pengundi bukan melayu yang sejak lebih setahun lalu dilihat kental menyokong parti-parti dalam koalisi Pakatan Rakyat. Alasan yang diberikan oleh Najib ialah ianya sebagai syarat kepatuhan terhadap keahlian Malaysia di dalam Asean Economic Community (AEC) dan World Trade Organisation (WTO).
Sektor-sektor yang terlibat ialah sektor Kesihatan, Khidmat Awam, Pelancongan, Kewangan, Perundangan, Pengangkutan, Perdagangan, Pengkomputeran dan sektor-sektor lain yang berkaitan.
Nampaknya Najib, sepertimana pimpinan UMNO yang lain dan yang lalu masih gagal memahami kenapa rakyat, khususnya bukan melayu menentang DEB yang muncul selepas insiden rusuhan kaum 1969. Rakyat, termasuk orang melayu bukannya menentang dasar tersebut dari segi kandungan, tetapi perlaksanaan dasar tersebut sejak 1970, yang dilihat hanya menguntungkan beberapa kelompok pemodal atau politikus yang berkait rapat dengan UMNO. Maka wujudlah beberapa terminologi atau istilah sindiran seperti dasar 'UMNOPutra', dasar 'kroni kapitalis', 'white discrimination', dan sebagainya.
Majoriti orang Melayu di negara ini tidak bertuah seperti mana saudara-saudara mereka yang didalam UMNO. Bahkan, perlaksanaan dasar ini sejak dulu lagi lebih dilihat menindas orang Melayu sendiri, di samping menganaktirikan orang bukan Melayu. Untuk Melayu itu beroleh sesuatu di bawah dasar ini, termasuk dalam bidang pendidikan dan perniagaan, mereka mesti jadi orang UMNO. Yang bukan UMNO, hanya boleh pandang dan lihat.
Kita ambil contoh dalam konteks pendidikan, kalau nak dapat sokongan JKKK untuk pinjaman buku teks, pinjaman atau biasiswa pendidikan dan sebagainya, orang Melayu itu mesti isi borang UMNO dulu! Kalau nak dapat pinjaman perniagaan di bawah pelbagai insentif seperti TEKUN dan sebagainya, mesti isi borang UMNO dulu. Kalau JKKK dah kenalpasti orang Melayu itu menyokong PAS atau mana-mana parti lain dari UMNO, segala permohonan akan disenaraihitamkan buat selama-lamanya! Bahkan, ada sesetengah kes, walaupun mereka ahli UMNO, tapi dari kem yang berbeza, mereka juga turut disenaraihitamkan!
Perlaksanaan atau pengaplikasian dasar ini dah terlalu teruk dipolitikkan oleh UMNO. Memang betul, sejak dasar ini diperkenalkan, bilangan professional dari kalangan orang Melayu meningkat. Bilangan peniaga dan jutawan Melayu juga turut meningkat, tapi persoalannya, adakah peningkatan ini meliputi segenap lapisan masyarakat atau dari kelompok UMNOputra tertentu sahaja? Kenapa jurang ekonomi dan pendidikan intra-Melayu semakin melebar? Kenapa orang Melayu sendiri ramai yang meluat dengan perlaksanaan dasar ini? Sampai bila orang Melayu, khususnya dalam UMNO nak biarkan diri ditipu dan dibuai nostalgia ilusi dan propaganda syok sendiri?
Bila DS Anwar melalui parti KeADILan menawarkan Agenda Ekonomi Malaysia, dia dikatakan khianat kepada orang Melayu. Saya yakin, pengkritik-pengkritik ini tidak pernah baca dokumen AEM ini! Mungkin, kalau mereka baca, mereka akan malu sendiri, lantaran kebodohan dan kesombongan mereka.
DEB bukanlah segalanya untuk orang Melayu! DEB pernah punya peranan penting dalam menyusun semula masyarakat di peringkat awal perlaksanaannya, tapi kini ia hanya sebagai alat atau alasan pimpinan UMNO untuk mengkayakan diri mereka! Kerana itulah, yang paling kuat mengkritik AEM ialah pimpinan UMNO. Mereka takut, tembelang khianat amanah mereka yang terbongkar! DEB sudah hampir hilang relevannya kerana perbuatan khianat pimpinan UMNO. Sayang sekali, ahli-ahli kecil UMNO dibawah masih terus rabun dan terus enak biarkan diri mereka dibuai oleh nostalgia silam!!
Zaman sudah berubah, dan keperluan masyarakat juga berubah. Dasar ekonomi yang baru diperlukan untuk menjaga kepentingan rakyat terbanyak yang selama ini tertinggal dalam menikmati hasil kekayaan negara ini. Dasar ekonomi yang baru perlu bebas dari campurtangan politik yang keterlaluan dalam perlaksanaannya. Dasar liberalisasi melampau tidak akan membantu, kerana ianya hanya akan menguntungkan kelompok pemodal atau yang sudah punya modal, hasil pengkhianatan dasar ekonomi yang terdahulu.
Kalau Najib benar-benar ini merubah, dia harus mampu mendengar suara hati rakyat, bukannya kelompok elit UMNO yang mengelilingi beliau! Najib juga harus mampu duduk semeja dengan semua pihak, lebih-lebih parti-parti gabungan Pakatan Rakyat sekiranya dia benar-benar ikhlas nak realisasikan konsep 'One Malaysia' yang diwar-warkan baru-baru ini. Perbezaan politik bukannya halangan untuk bekerjasama demi kepentingan rakyat terbanyak! Kesilapan lampau harus diakui, dan ianya wajib dibetulkan sebelum ianya melarat hingga merosakkan negara dan rakyat! Kepentingan rakyat terbanyak harus diutamakan berbanding dengan kepentingan peribadi.
Saya sendiri bukannya pandai sangat, tapi boleh la sikit-sikit. Tapi saya yakin, ramai lagi yang punya kepakaran ekonomi yang boleh membantu, cuma mereka tidak berada dalam kerajaan. Najib perlu tunjukkan sedikit 'humility' sekiranya beliau benar-benar ikhlas ingin merubah!
Liberalisasi bukanlah segalanya!
Kg Dato Keramat, KL
26 April, 2009

2 comments:

  1. Pergi mampus sama Keadilan!

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete