Wednesday, April 22, 2009

AMK Kedah akan Bantu PRK Penanti

Semalam, saya pulang dari Sungai Petani bertemu dengan teman-teman AMK Kedah membincangkan persiapan khenduri Rakyat yang akan dibuat di perkarangan bangunan Yayasan Aman Kedah di Sungai lalang. Bagi yang sudah lupa, ianya bertempat di Bilik Gerakan Utama AMK Kedah, di laluan jalan lama ke Alor Setar.

Pada masa yang sama, kami juga membincangkan beberapa program yang akan dijalankan oleh AMK Kedah, termasuk program latihan kepimpinan dan skil pengurusan pentadbiran yang akan dibuat secara berterusan. Antara yang hangat dibincangkan ialah penyertaan AMK Kedah alam membantu pilihanraya kecil Penanti yang bakal diadakan selepas perletakan jawatan sdr Fairus sebagai ADUN Penanti baru-baru ini.

Segar dan bersemangat tinggi selepas mengetuai jentera prk Bukit Selambau baru-baru ini, teman-teman pimpinan AMK mendesak agar AMK sekali lagi diberikan peranan penting mewakili KeADILan Kedah dalam prk Penanti. Saya bersetuju dan teruja dengan komitmen dan semangat teman-teman yang tinggi. Urusan awal persiapan terus dibuat dengan menghubungi Pak Tam Permatang Pauh yang mengetuai jentera bahagian Permatang Pauh membantu Bukit Selambau tempohari. InsyaAllah, sekiranya prk Pnanti dijalankan nanti (kita tunggu pengumuman SPR pada 24hb nanti!!), AMK akan turun membantu di JDM Guar Perahu.

Saya sengaja memilih JDM ini kerana cabaran yang akan dihadapi pasti tinggi. JDM ini adalah kawasan majoriti pengundi Melayu (lebih 90%), kubu kuat UMNO, dan dalam prk Permatang Pauh lalu, KeADILan hanya menang agak tipis. Saya yakin, JDM akan sekali lagi menjadi pentas latihan yang baik untuk teman-teman AMK sebagai pendedahan dan persiapan menghadapi pilihanraya umum nanti. Kalau dulu, kami bertugas di JDM Seberang Jaya 1 yang penuh dengan pelbagai cabaran berdepan dengan jentera UMNO N9 yang diketuai oleh Khairy, dalam keadaan KeADILan tidak pernah menang di situ, kami berjaya mendapat kemenangan manis dengan majoriti yang jauh meningkat, kami yakin akan mengulangi kejayaan yang serupa di Guar Perahu dan Penanti secara umumnya.

Saya yakin, dengan pendekatan kempen secara terbuka dan berterus terang, dengan menyebarkan maklumat yang sebenar kepada pengundi apa yang sebenarnya sedang berlaku, pengundi yang dahulunya mengundi calon BN akan berubah hati. Kali ini, teman-teman AMK tidak akan hanya mengambil peranan konvensional anak muda, yang sebelum ini hanya terlibat dengan persiapan fizikal, tetapi akan terus bertemu dengan pengundi, khususnya pengundi muda bagi menyampaikan maklumat yang sebenar.

Negara ini hanya akan berjaya kita rubah sekiranya rakyat punya akses maklumat yang benar dan jelas faktanya. Cabaran besar menanti semua teman-teman yang akan turun membantu, terutamanya berdepan dengan jentera media dan polis kerajaan yang dikudakan oleh UMNO dan BN. Seperti di Bukit Selambau dan lain-lain prk yang kita sertai, saya yakin dan pasti teman-teman AMK tidak akan mudah tunduk dan berubah hati. InsyaAllah, kemenangan yang lebih besar sedang menggamit untuk memastikan perubahan yang lebih besar dan berkekalan kepada rakyat Malaysia seluruhnya.

Bukit Selambau
22 April, 2009

1 comment:

  1. AMK Kedah memang hebat kalau bab membantu lepas tu pakat dok buat cerita laga org nu laga org ni dlm bhg di negeri Kedah ni.....Ketua AMK Kedah tak pandai jag a anak buah tunggu anak buah anda akan terkulai layu lepas ni....hahahahahhaha............

    ReplyDelete