Friday, April 24, 2009

Pilihanraya Kecil Membazir Wang Rakyat?

Lantaran takut dengan kekalahan demi kekalahan kepada Pakatan Rakyat, Najib memulakan omong picisan sebagai 'face saving measures' dengan mengatakan bahawa pilihanraya kecil yang berlaku secara berterusan ini adalah satu pembaziran wang rakyat dan helah politik parti KeADILan untuk mengukur tahap populariti di mata rakyat. Maka segala bala tentera media, penulisan dan elektronik serta media alam maya dikerah semahunya untuk cuba membentuk minda rakyat bagi menerima omongan picisan ini.

Sebagai perdana menteri baru di negara yang sudah lebih separuh abad merdeka, dengan kononnya amalan demokrasi tulen, Najib nyata nyata jauh ketinggalan zaman! Saya membaca beberapa tulisan blog yang cenderung kepada regim BN seperti Norizan Sharif, Fuad Hassan, dan ramai lagi. Ternyata, kerangka pemikiran mereka masih terbelenggu dengan budaya politik lapuk UMNO! Mereka jelas lupa sejarah bikinan sendiri, dan mereka ingat rakyat mudah lupa dan nyanyuk seperti mereka!!

Bagi pencinta UMNO dan BN, amalan demokrasi tulen yang mereka faham ialah perbuatan membuang undi 4 atau 5 tahun sekali seperti yang diamalkan selama ini. Sama ada rakyat bebas mengamal demokrasi, itu persoalan yang lain!! Sama ada wujud amalan demokrasi lain seperti kebebasan media, bersuara, hak berhimpun dan menyuarakan bantahan terhadap penyelewengan kerajaan sedia ada, dan banyak lagi, itu persoalan kedua. Siapa yang menyuarakan perkara-perkara ini dilabel sebagai agen Barat atau yahudi!! Kerakusan mereka menggunakan media kerajaan (harus dibezakan antara kerajaan dan parti yang menguasai kerajaan!!), semua institusi kerajaan seperti polis, SPR, Jabatan Penerangan, Kesihatan, sekolah awam dan banyak lagi, tidak boleh ditegur, kerana itu kerja pengkhianat negara namanya!!

Mereka lupa bahawa pilihanraya bukan hanya medan memilih wakil rakyat yang akan mewakili pengundi sesuatu kawasan itu, tetapi juga medan untuk rakyat bersuara dengan lantang dan jelas. UMNO lupa bahawa mereka pernah menggunakan kaedah pilihanraya kecil untuk penstrukturan semula politik. Masihkah ingat 2 pilihanraya kecil serentak di Selangor yang dibuat untuk membolehkan Abu Hassan Omar menjadi Menteri Besar pada tahun 1996? (Abu Hassan Omar kemudiannya meletakkan jawatan atas satu skandal yang cuba ditutup oleh BN, yang kemudiannya melantik Khir Toyo sebagai MB baru). Bukankah ini satu pembaziran wang rakyat seperti dalam konteks yang cuba diutarakan oleh Najib?

Di Malaysia, pilihanraya kecil sebenarnya satu rahmat kepada pengundi di kawasan yang terlibat. Tatkala pilihanraya kecillah, BN cuba merasuah rakyat dengan menurun dan meluluskan pelbagai projek mee segera. Lihat saja pelbagai projek menurap jalan dan sebagainya seperti yang kita dapat lihat di Bukit Gantang dan Bukit Selambau! Kalau tidak, tunggulah sampai pilihanraya umum yang lain pulak, baru dapat 'janji manis' BN atas nama pembangunan! Masa nilah kain batik, beras, gula dan macam-macam lagi mudah diperolehi! Masa nilah jugak masanya untuk sekolah-sekolah dhaif, surau dan masjid bocor, rumah-rumah kebajikan, parit-parit tersumbat dan banyak lagi berpeluang untuk dibaiki segera. Semua ni pakai wang siapa kalau tidak wang rakyat!! kalau tidak ada pilihanraya kecil, semua peruntukan ini akan senyap-senyap masuk dalam poket pemimpin UMNO, melalui pelbagai kaedah yang dihalalkan oleh undang-undang negara ini.

Ketika pilihanraya kecil inilah jugak ahli-ahli UMNO di bawah berpeluang mendapat habuan dan durian runtuh dari pimpinan mereka! Bila Najib merungut, yang turut sama merungut ialah pimpinan UMNO yang lain, kerana mereka tahu, mereka kena keluarkan wang lagi untuk bagi habuan ahli-ahli yang akan buat kerja di bawah nanti!!! Mana ada ahli-ahli UMNO biasa merungut!! Kalau tak turun habuan, maka bilik gerakan takkan dibuka! Wang siapa semuanya ini kalau tidak wang rakyat!!

KeADILan dan PAS bila pilihanraya kecil hanya mampu guna wang parti dan hasil sumbangan ahli-ahli. Walaupun kuasai beberapa negeri, tapi masih tak mahu gunakan wang kerajaan negeri, kerana mereka tahu bezakan antara wang parti dan wang rakyat. Jadi siapa sebenarnya yang bazirkan wang rakyat dalam konteks ini?

Saya masih ramai teman-teman yang pekat dan hangit dengan UMNO, bukannya kerana setia dengan 'agenda perjuangan' UMNO, tapi UMNO la lubuk mereka cari makan! Ada yang nampak 'karat' dengan UMNO, tetapi setia mereka ini sebenarnya bersyarat. Syaratnya ialah fulus! Ada fulus, kerja jalan! Tak dak fulus, boleh jalan! Ramai anak-anak muda yang masuk UMNO kerana janji kehidupan yang lebih baik, peluang pekerjaan yang lebih baik dan macam-macam lagi ang lebih baik, tapi bila dah masuk baru faham hakikat dan realiti sebenar! Jadi mereka terus kekal sebagai pencacai serta pekerja politik professional. Yang ada lebih duit sikit, nak cari peluang berniaga lebih, hatta berniaga atas angin. Jadi, yang pastinya, kelompok-kelompok ini sudah pasti gembira bila ada pilihanraya kecil!

Saya melihat pilihanraya kecil sebagai barometer prestasi yang hanya boleh digerakkan oleh rakyat. Mana-mana parti tidak perlu takut berdepan degan rakyat kalau mereka tidak bersalah atau khianat kepada rakyat. Dalam era politik baru dan moden di Malaysia, rakyatlah yang punya kuasa keramat penentu segalanya! Rakyat punya daulat menaikkan dan menjatuhkan mana-mana pimpinan! Cuma saya harap, rakyat lebih punya ruang demokrasi yang tulen untuk memilih, atas fakta dan maklumat yang benar.

Harapannya agar Penanti akan jadi medan baru untuk rakyat terus suarakan hak dan kehendak mereka. Saya juga impikan, suatu hari nanti, negara ini mampu amalkan demokrasi tulen, di dalam kerangka dan budaya kemajmukan yang wujud dan pasti secara realiti.

Jadi Najib, kenapa takut pilihanraya kecil??

Wallahualam

Kampung Raga, Yan
24 April, 2009

1 comment:

  1. kenapa tak komen pasai liberalisasi 27 sub-sektor ekonomi yang dibuat najib? DAP dan golongan bukan Melayu dalam PKR sure sokong punya. Tak payah tunggu Anwar Ibrahim rubah DEB. Najib dah buat awal lagi. Nak tunggu Anwar Ibrahim buang DEB lambat lagi.

    ReplyDelete