Wednesday, April 22, 2009

Gelisah Mahathir Berterusan

Teman-teman sering minta saya beri komen tentang perkembangan baru politik tanahair, terutamanya selepas Najib dinobatkan sebagai Perdana Menteri yang ke 6 menggantikan Pak Lah Badawi. Saya melihat komposisi kabinet baru yang dikatakan 'sangat bersih' oleh najib yang dikatakan akan membawa perubahan baru kepada negara khusus dalam merealisasikan gagasan baru Najib "One Malaysia" yang diungkapkan beliau sejurus selepas mengangkat sumpah menjadi Perdana Menteri.

Apa yang boleh saya katakan adalah, saya bersyukur kerana saya turut terlibat dalam memberikan 'hadiah' istimewa menyambut Najib sebagai dan 'menghambat' Pak lah Badawi dari jawatan perdana menteri, dengan menghadiahkan kemenangan besar Pakatan Rakyat di Bukit Selambau kepada rakyat.

Dengan ternobatnya Najib sebagai PM baru ini, maka lengkaplah pusingan ganas kepimpinan UMNO, kembali kepada penguasaan Dr Mahathir. Kabinet 'baru' Najib ini adalah umpama bayangan kabinet harapan Dr Mahathir, dipenuhi dengan kaki bodek dan pimpinan UMNO yang mewarisi legasi kepimpinan Mahathir. Masih ada beberapa 'suratkhabar lama' yang dikitar semula, dengan pakej 'make up' yang baru. Memang, muka-muka lama seperti Rafidah, Tengku Adnan, Aziz Shamsuddin, Sanusi Junid, Arwah Megat Junid, Khalil Yaakob dan ramai lagi sudah tidak ada, tapi barisan pimpinan UMNO yang ada sekarang adalah mereka yang lahir dari acuan dan budaya bobrok yang sama. Khianat dan korupsi adalah amalan biasa yang sudah terbudaya dalam UMNO, warisan atau legasi pemerintahan Mahathir.

Kalau dulu, semasa regim Pak Lah Badawi, Mahathir meracau dan gelisah kerana banyak legasinya cuba dipadam oleh Pak Lah dengan bantuan 'budak-budak tingkat 4'. kini, dia mula kembali meracau dan gelisah kerana dia baru sedar legasinya sukar nak dipulihkan semula kerana rakyat sudah mula membuka mata. Gelombang kedua Reformasi pada 8 Mac, 2008 menyebabkan rakyat sudah mula lebih punya daulat tersendiri.

Kita lihat sendiri, walaupun Najib cuba mengungkapkan konsep 'One Malaysia' kepada rakyat sebagai gula-gula menutup kepincangan pengurusan keharmonian kaum oleh UMNO selama ini, respon pimpinan UMNO yang lain, termasuk Dr Mahathir masih ditahap yang lama. Mereka masih yakin, dengan membangkitkan kemarahan orang Melayu melalui isu-isu kaum dan agama yang direka-reka, mereka masih boleh mengekalkan sokongan rakyat kepada UMNO, khususnya dari orang Melayu, dan pada masa yang sama memberikan mesej amaran yang jelas kepada kaum lain, supaya tunduk dan patuh kepada BN dengan hanya menyokong BN.

UMNO, selagi didalangi oleh kepimpinan 'racist' seperti yang ada hari ini, warisan dari legasi kepimpinan Mahathir, tidak akan ke mana-mana. Adalah menjadi tugas kita generasi baru anak muda, khususnya yang punya akses kepada maklumat untuk terus mendidik masyarakat, khususnya generasi muda agar menolak terus politik perkauman. Tidak ada jalan lain untuk bangsa kita maju ke hadapan melainkan dengan terus mendidik rakyat menerima kebenaran. Jangan ada yang takut atau rendah diri untuk berhadapan dengan cabaran, kerana akhirnya, apabila kita kembali berhadapan dengan Rabbul Jalil, kita akan ditanya sejauh mana kita sudah mencuba untuk merubah masyarakat, dan bukannya sejauh manakah kita telah berjaya untuk merubah masyarakat.

Percayalah, setiap apa yang kita lakukan hari ini, walau sekecil apapun, tetap akan merubah masyarakat suatu hari nanti. Saya sendiri tidak pernah menyangka, pengorbanan yang kita lakukan lebih 11 tahun lalu secara konsisten dan istiqamah, membuahkan hasil seperti yang dapat dilihat hari ini.

REFORMASI!!

Merbok

23 April, 2009



No comments:

Post a Comment