Sejak dari awal pagi tadi, saya menerima berita yang agak menyedihkan, iaitu anggota Parlimen Pas Bukit Gantang, sdr Roslan Shaharum dilaporkan telah kembali ke RahmatUllah akibat serangan jantung di awal pagi, selepas bersenam di kawasan rumah beliau di Changkat Lallang, Batu Gajah.
Arwah yang berusia di awal 50an merupakan calon PAS yang berjaya menumbang calon UMNO dalam pilihanraya umum tahun lalu dengan kelebihan majoriti 1,566 undi. Kawasan parlimen Bukit Gantang adalah kawasan majoriti Melayu dengan peratusan undi masyarakat Cina sebanyak 27% dan India 10%.
Mungkin secara kebetulan, di kawasan parlimen inilah terletaknya DUN Changkat Jering, yang mana hari ini diwakili oleh Capt (B) Osman Jailu, yang baru-baru ini mengisytiharkan diri beliau keluar dari PKR dan menjadi calon Bebas yang menyokong Barisan Nasional, menyebabkan berlaku satu krisis baru perlembagaan yang terbesar dekad ini.
Peruntukan Akta Pilihanraya menyatakan bahawa pilihanraya kecil mesti dilaksanakan dalam tempoh 60 hari selepas kekosongan kerusi tersebut dimaklumkan kepada Speaker Dewan Rakyat sebenarnya meletakkan UMNO dan BN dalam kedudukan yang agak terdesak. Bukan sahaja tempoh pilihanraya kecil terlalu hampir dengan pemilihan UMNO, tetapi, ianya menjadi kayu ukur sokongan rakyat kepada kerajaan 'haram' UMNO dan BN di Perak. Rakyat Perak, khususnya di Bukit Gantang berpeluang memberikan mesej yang jelas kepada UMNO dan juga Sultan Perak bahawa pergolakan politik yang sedang berlaku ini adalah akibat budaya politik kotor dan jahat UMNO yang sudah lama berakar dan menular hingga boleh membawa pepecahan dalam masyarakat.
Dalam masa yang sama, desas desus akan berlaku satu lagi pilihanraya kecil di Bukit Selambau juga sudah tersebar meluas. Dari pagi, panggilan telefon tak berhenti kerana kebetulan kawasan DUN Bukit Selambau itu terletak di Parlimen Merbok, kawasan kelahiran saya. Khabarnya sdr YB Arumugam sudah menghantar surat meletakkan jawatan sebagai ADUN dan EXCO sekaligus kerana tidak tahan dengan tekanan dan ugutan terhadap beliau dan keluarga beliau. Untuk itu, kita tunggu saja perkembangan lanjut, cumanya, jentera Pakatan rakyat Merbok, khususnya di Bukit Slambau sudah diletakkan dalam tahap siap siaga untuk digerakkan.
Apapun, untuk kedua kes ini, Pakatan Rakyat akan turun bersama-sama untuk memastikan kemenangan calon Pakatan Rakyat sama ada dari PAS atau PKR. Ini masanya untuk buktikan kepada semua bahawa kita serius dalam mengambilalih amanah memerintah negeri dan negara. Kita menunggu arahan parti masing-masing untuk mula berpencak!
Ayuh, apa lagi!! Gendang Perang sudah dipalu!! Reformasi!!!
No comments:
Post a Comment