Monday, February 16, 2009

Kenyataan Media AMK Kedah

KENYATAAN MEDIA ANGKATAN MUDA KEADILAN KEDAH
16hb Februari, 2009

PERBUATAN KHIR TOYO BUKTI UMNO BANGKRAP IDEA

Angkatan Muda Keadilan negeri Kedah mengecam tindakan memualkan dan tidak bermoral segelintir individu yang menceroboh kehidupan peribadi ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Lanjan, YB Cik Elizabeth Wong dengan menyiarkan gambar-gambar peribadi beliau yang diambil tanpa kerelaan dan tanpa kesedaran beliau. Yang lebih memualkan ialah, perbuatan terkutuk ini didalangi individu dengan niat bermotifkan politik dan seolah-olah mendapat sokongan dari Dr Khir Toyo, bekas menteri besar Selangor dan calon Ketua Pemuda UMNO Malaysia yang semakin terdesak karier politiknya!

Kenyataan Khir Toyo yang mendahului berita tentang gambar-gambar tersebut jelas menunjukkan bahawa seolah-olah insiden ini merupakan satu jenayah politik yang terancang untuk menjatuhkan maruah dan imej serta seorang wakil rakyat yang sangat disenangi oleh pengundi-pengundi di Bukit Lanjan. Khir Toyo jelas kelihatan seperti seorang yang bengong bila beliau membandingkan isu ini dengan skandal tidak bermaruah bekas menteri kanan Barisan Nasional, Dr Chua Sooi Lek yang meletakkan jawatan akibat rakaman video hubungan seks beliau di sebuah hotel. Beliau juga seolah-olah menyokong sebarang perbuatan menceroboh kehidupan peribadi sesiapa sahaja asalkan matlamat politik menjatuhkan maruah seseorang tercapai.

Sebagai seorang Islam, saya merasa malu dengan perbuatan Khir Toyo sebagai seorang wakil rakyat beragama Islam yang cuba naik dengan menjatuhkan maruah orang lain. Islam jelas melarang keras perbuatan menjatuhkan maruah atau mendedahkan keaiban orang lain. Mustahil anak guru agama yang satu ini tidak tahu hukum dan larangan agama, sekalipun ianya berkaitan dengan maruah seorang bukan Islam!

Kita mengharapkan agar YB Elizabeth Wong akan tetap bersemangat dan teguh menghadapi dugaan terbaru dalangan UMNO dan Barisan Nasional ini. Kita menyeru rakyat, terutamanya pengundi di 2 pilihanraya kecil di Bukit Gantang dan Bukit Selambau dapat bangkit memberikan mesej yang jelas kepada UMNO dan Barisan Nasional bahawa rakyat sudah muak dan jelak dengan politik tidak bermoral UMNO dan Barisan Nasional ini!


SAIFUL IZHAM RAMLI
Ketua Angkatan Muda Keadilan
Negeri Kedah Darul Aman

No comments:

Post a Comment