Sunday, February 1, 2009

Catatan Program di Kedah 1 Februari 2009

Semalam, di tengah-tengah kekalutan umum dengan isu-isu panas politik tanahair, terutamanya yang melibatkan kekecohan berkaitan dengan isu kononnya akan berlaku satu lagi insiden lompat parti yang melibatkan dua ADUN PKR di Perak, saya dan teman-teman di Kedah, khususnya di kawasan Parlimen Merbok dan Sungai Petani terus dengan pelbagai program pengembangan parti dan kempen penerangan isu-isu semasa politik negara.

Pada sebelah petangnya, saya menghadiri program perasmian satu lagi cawangan baru PKR di bawah Parlimen Merbok, iaitu cawangan Taman Ria Jaya atas kapasiti saya selaku Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR dan sebagai Naib Ketua Bahagian Merbok. Cawangan ini merupakan cawangan ke 24 parti bahagian Merbok yang berjaya ditubuhkan sejak pilihanraya umum lalu, yang melibatkan hampir 80 keahlian baru. Turut hadir dalam program tersebut adalah Dato' Rashid Din selaku ahli Parlimen Merbok merangkap Pemangku Ketua Bahagian, sdr Mukhtar Ismail selaku naib Ketua Bahagian dan sdr V. Arumugam selaku ADUN Bukit Selambau.



Kejayaan menembusi satu lagi bekas kubu kuat BN di parlimen Merbok adalah satu pencapaian dan kejayaan di luar dugaan, lebh-lebih lagi tatkala PKR menghadapi satu lagi situasi kekalutan politik yang agak meruncing. Walaupun dalam pilihanraya umum lalu, PKR berjaya mendapat mandat dan amanah dari rakyat untuk mewakili rakyat Merbok dengan majoriti di sekitar 2,000, namun harus diingat, sebelum dari ini, Merbok adalah merupakan kawasan selamat BN yang saban pilihanraya memenangi kerusi tersebut dengan majoriti di sekitar 14,000 (catatan pilihanraya 2004).

Di sebelah malamnya pula, saya dijemput untuk berceramah memberikan penerangan isu-isu semasa di Taman Keladi Sungai Petani. Turut bersama sebagai teman penceramah ialah Dato Hj Johari Abdul, Ahli Parlimen Sungai Petani (PKR) selaku ketua bahagian Sungai Petani, Tuan Haji Ahmad Kassim, Ahli Parlimen Kuala Kedah (PKR) juga selaku Pengerusi Perhubungan Negeri Kedah yang baru dan Dato Haji Taib Azamuddin, Ahli Parlimen Baling (PAS). Sekali lagi, sambutan pengundi-pengundi di sekitar Sungai Petani dan Merbok adalah di luar jangkaan. Mungkin fenomena ini berkaitan dengan kehangatan isu-isu semasa yang terkini, kerana rakyat amat dahagakan maklumat yang jelas berfakta dan sebenar, dan mungkin juga kerana rakyat sudah semakin muak dengan omongan dan fitnah BN yang semakin hangat berkumandang di media-media perdana yang dikuasai oleh BN.


Saya dimaklumkan kemudian oleh penganjur, iaitu jawatankuasa Pakatan Rakyat Taman Keladi, bahawa inilah julung-julung kali ceramah anjuran mereka mendapat sambutan kehadiran yang sebegitu hebat, jauh melebihi sambutan semasa kempen pilihanraya umum yang lalu. Mungkin ini semua mengambarkan mood semasa rakyat dan pengundi yang semakin muak dengan UMNO dan BN. Di celah-celah hadirin yang ramai, saya sempat melihat kelibat sekumpulan teman-teman lama persekolahan semasa kecil yang saya tahu agak aktif dengan UMNO semasa pilihanraya umum lalu. Sebelum dari itu sebenarnya ada dari kalangan mereka yang sudah mula menghubungi saya semula untuk minum-minum teh tarik dan bertanyakan perkembangan politik semasa, tapi itu semua cerita lain yang akan saya ceritakan di masa yang lain.

No comments:

Post a Comment